BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Kenaikan harga diesel bukan sebab dasar negara — Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kritikan pembangkang berhubung kenaikan harga diesel yang dijadikan sebagai modal politik tidak bersandarkan realiti sebenar situasi ekonomi semasa.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perhimpunan Bulan April Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini.

Menurutnya, kenaikan kos bahan api ketika ini berpunca daripada faktor global, khususnya krisis di Asia Barat, dan bukannya disebabkan kelemahan dasar domestik semata-mata.

“Cubalah mereka pergi ke Selat Hormuz atau ke negara Barat dan lihat sendiri keadaan sebenar. Kita bernasib baik sebenarnya, jangan asyik menggunakan masalah global ini sebagai kesalahan pihak kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, tindakan pembangkang yang menuding jari kepada kerajaan adalah tidak adil kerana mengabaikan hakikat bahawa banyak negara lain turut berdepan tekanan sama akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru agar semua pihak mengambil pendekatan lebih rasional dengan memahami punca sebenar kenaikan tersebut, bukannya memanipulasi isu demi kepentingan politik.

“Kita sepatutnya bersama-sama mencari jalan, bukan menuding jari,” katanya.

Ahmad Zahid menyatakan situasi semasa memerlukan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi kesan krisis global yang berada di luar kawalan mana-mana kerajaan.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan beban subsidi diesel kerajaan meningkat mendadak daripada RM700 juta kepada RM3.5 bilion susulan kenaikan harga bahan api global.

“Ini satu beban yang amat berat kepada kerajaan,” katanya, sambil menambah perincian lanjut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan NACCOL.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button