Kerajaan sedia pulangkan semula nilai subsidi jika berlaku penyalahgunaan MyKad
PUTRAJAYA – Kerajaan sedia memulangkan semula nilai subsidi yang diberikan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sekiranya berlaku penyalahgunaan MyKad oleh pihak lain, bagi memastikan hak penerima yang layak dikembalikan sepenuhnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana penerima yang layak teraniaya akibat isu teknikal atau penyalahgunaan identiti.
“SARA adalah hak rakyat. Jika berlaku penyalahgunaan MyKad, baki sumbangan akan dipulangkan semula kepada penerima terlibat setelah disahkan melalui siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan aduan mengenai penyalahgunaan MyKad untuk menebus bantuan subsidi bersasar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Saifuddin menjelaskan, pemegang MyKad yang menjadi mangsa penyalahgunaan perlu membuat laporan polis bagi membolehkan Kementerian Kewangan (MOF) bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca dan memastikan hak penerima dikembalikan.
Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JPN kini bekerjasama rapat dengan MOF bagi menyelesaikan isu teknikal berkaitan pengesahan dan keselamatan MyKad supaya pusingan seterusnya penyaluran subsidi bersasar dapat dijalankan dengan lancar.
Antara langkah penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk pemadanan data MyKad secara berkala, semakan versi kad bagi mengelakkan salah guna penebusan serta peningkatan keselamatan infrastruktur digital JPN.
“Kerajaan MADANI melalui KDN dan MOF akan terus menambah baik sistem pengesahan identiti dan keselamatan data agar setiap sen bantuan dikembalikan kepada rakyat yang layak tanpa gangguan, tanpa penyelewengan dan tanpa kehilangan hak,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








