Pencemaran Sungai Gali dan Sungai Lampan di Raub semakin membimbangkan
RAUB – Pencemaran Sungai Gali dan Sungai Lampan, di sini semakin membimbangkan apabila pelbagai spesies ikan ditemukan mati, termasuk ikan tilan yang diketahui mempunyai daya tahan tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, keadaan itu dikesan ketika beliau meninjau kedua-dua sungai berkenaan susulan aduan penduduk setempat.
Menurutnya, tinjauan bersama Majlis Daerah Raub (MDR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub serta pihak polis mendapati air sungai berwarna hitam dan mengeluarkan bau kurang menyenangkan.
“Hasil tinjauan bersama MDR, JPS Raub serta pihak polis mendapati air sungai berwarna hitam dan berbau, manakala pelbagai spesies ikan ditemukan mati di sepanjang sungai.
“Malah, ikan tilan yang diketahui mempunyai daya tahan tinggi turut menjadi mangsa pencemaran berkenaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sehubungan itu, Fadzli menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan menyeluruh dengan segera bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Menurutnya, kejadian itu tidak boleh dipandang ringan kerana bukan sahaja mengancam kelestarian ekosistem sungai, malah berpotensi menjejaskan kehidupan dan urusan harian penduduk setempat.
Beliau berharap tindakan segera dapat diambil bagi mengenal pasti punca pencemaran dan mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








