Sultan Pahang mahu pencerobohan tanah dihentikan segera
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap isu pencerobohan tanah di negeri ini dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat.
Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan pencerobohan yang berlaku di kawasan masing-masing sekali gus membantu kerajaan negeri memelihara kedaulatan serta kelestarian bumi Pahang.
“Jangan biarkan sesiapa menceroboh tanah negeri Pahang ini. Saya sendiri berasa amat marah kerana terlalu banyak kes pencerobohan yang berlaku.
“Sudah tiba masanya kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam.
Rakaman titah baginda itu turut dimuat naik menerusi laman rasmi Facebook Kesultanan Pahang.
Dalam masa yang sama, baginda menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pencerobohan tanah diselesaikan secara baik dan harmoni, dengan mengambil kira sebarang kelemahan yang wujud dalam proses pengurusan.
Isu pencerobohan tanah di Raub mencetuskan pelbagai reaksi susulan tindakan penguatkuasaan ke atas kebun durian yang diusahakan tanpa kebenaran, termasuk penebangan kira-kira 200 pokok durian Musang King di Sungai Klau pada 8 April lalu.
Kerajaan Negeri Pahang menafikan dakwaan telah melanggar perintah mahkamah berhubung tindakan tersebut.
Operasi yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu merangkumi kawasan tanaman yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka diteruskan sehingga 3 Mei ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








