Apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan – Sultan Pahang
KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kesal atas insiden memijak al-Quran yang dilihat sengaja mengganggu-gugat keharmonian negara dan negeri ini.
Baginda bertitah, perbuatan itu bukan sahaja satu tindakan yang sangat biadab, bahkan suatu penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat yang dibina atas asas saling menghormati.
“Apabila al-Quran dipijak, maka yang tercalar bukan sekadar kertasnya tetapi kesucian wahyu dan maruah umat.
“Dalam hal ini, saya menegaskan apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan. Diam dalam keadaan agama dihina adalah tanda lemahnya jiwa dan pudarnya maruah.
“Sepertimana ungkapan yang pernah dizahirkan oleh Buya Hamka: “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan.”
“Ungkapan ini bukan seruan kepada keganasan tetapi peringatan bahawa mempertahankan maruah agama adalah kewajipan moral dan tanggungjawab iman.
“Namun, mempertahankannya hendaklah dengan hikmah, adab dan berpandukan undang-undang,” titah baginda pada majlis perasmian masjid baharu FELDA Jengka 19 yang dimasyhurkan dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, FELDA Jengka 19 di Maran.
Titah baginda, Islam menuntut ketegasan tetapi dalam lingkungan keadilan.
“Kita tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku, namun kita juga tidak boleh membalas dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan.
“Menang jadi arang, kalah jadi abu, jika emosi menguasai akal, semua pihak akan rugi.
“Sebagai ketua dan pelindung agama Islam negeri Pahang, saya menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap islam wajib ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang.
“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama. Biar mati anak, jangan mati adat dan adat yang paling utama dalam negeri ini ialah menghormati agama sebagai tunjang kehidupan.
“Pada masa sama, saya ingin menegaskan bahawa mempertahankan kesucian Islam tidak bererti menafikan hak dan penghormatan terhadap agama-agama lain,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








