BERITA SEMASA

Sultan Pahang bimbang isu pemberian PR, kewarganegaraan tanpa tapisan tegas

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan yang disifatkan bukan sekadar urusan pentadbiran semata-mata.

Baginda bertitah, perkara itu menyentuh soal amanah, integriti, keadilan serta maruah sebuah bangsa berdaulat, justeru tidak boleh dilayan secara sambil lewa.

“Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen atau pengiktirafan undang-undang, sebaliknya ia adalah ikrar kesetiaan dan sumpah setia kepada raja serta tanah air.

“Ia juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan, tetapi lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang.” baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Program Wacana Belia Diraja 2026 bertemakan ‘Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat’ di sini, semalam.

Al-Sultan Abdullah menegaskan, ketegasan dalam isu tersebut bukanlah satu kezaliman, sebaliknya benteng kepada kedaulatan negara.

“Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia,” titah baginda lagi.

Program tersebut turut dihadiri paduka anakanda baginda, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menegaskan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara.

“Maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai,” titah baginda lagi.

Menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara, baginda menyeru golongan muda agar berani bersuara dan menegur secara berhemah serta berasaskan fakta.

“Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan dengan amarah serta caci.

“Kesetiaan kepada raja dan negara adalah asas kestabilan nasional, tanpanya kebebasan boleh bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan,” titah baginda lagi.

Wacana berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada kepimpinan persatuan belia, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan dalam pembangunan belia dan kenegaraan.

Program itu merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh literasi kenegaraan dalam kalangan belia, khususnya berkaitan peranan dan kedudukan institusi raja berperlembagaan sebagai teras kestabilan dan kedaulatan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button