JENAYAH & MAHKAMAH

Pijak al-Quran: MCMC turut siasat di bawah Akta 588

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] terhadap seorang individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran setelah siasatan polis selesai dijalankan.

Menurut MCMC dalam satu kenyataan, tindakan itu diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat naik menggunakan nama akaun “ryandaselva”, memaparkan perbuatan memijak al-Quran.

“Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.

“MCMC telah mengambil keterangan individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam bagi melengkapkan siasatan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.

Pijak
Seorang penuntut IPTA memohon maaf selepas bertindak biadab dengan memuat naik gambar memijak al-Quran dalam laman Thread.

Sementara itu MCMC mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.

Kelmarin seorang penuntut universiti tempatan berusia 21 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan selepas disyaki memijak al-Quran dan memuat naik gambar tersebut di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuantan memaklumkan suspek ditahan awal pagi tadi selepas bapanya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan anaknya. Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta peruntukan undang-undang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button