BERITA SEMASA

Sultan Pahang, Tengku Ampuan seru rakyat bersatu, saling menghormati, pelihara keharmonian

KUANTAN – Rakyat diseru agar terus bersatu padu, saling menghormati serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam usaha memelihara keharmonian masyarakat dan kemakmuran negeri serta negara.

Seruan itu dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Baginda berdua juga mahu rakyat menjadikan Tahun Baharu 2026 sebagai titik tolak untuk memperkukuh azam, meningkatkan usaha dan memperbaiki diri ke arah masa depan lebih gemilang.

“Sempena kehadiran tahun baharu ini, moga seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, keselamatan serta kehidupan yang harmoni dan sejahtera.

“Mudah-mudahan tahun 2026 membawa sinar harapan baharu, kekuatan semangat dan kejayaan dalam setiap cabaran kehidupan dilalui,” titah baginda berdua di Facebook Kesultanan Pahang.

Bersempena kehadiran tahun baharu 2026 juga, baginda mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama berdoa supaya negeri Pahang dan Malaysia sentiasa dilindungi Allah SWT serta dijauhi daripada sebarang tragedi dan bala bencana seperti taufan, banjir dan gempa bumi.

“Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan keberkatan-Nya kepada Negeri Pahang Darul Makmur serta negara Malaysia keseluruhannya,” titah baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button