BERITA SEMASA

Titah adendum wujud, jika palsu pasti laporan polis dibuat terhadap saya – Nizar

KUALA LUMPUR – Anak sulung Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Muhammad Nizar mendakwa titah addendum yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah bukan cerita dongeng sebaliknya ia memang wujud.

Muhammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang pernah menafikan kewujudan titah berkenaan.

“Saya yang failkan afidavit titah adendum itu, ia wujud bukan hearsay (khabar angin), kisah karut atau dongeng.

“Selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari yang lalu, YDPA ketika itu telah mengirim surat kepada Peguam Negara (AG) ketika itu yang mana dalam surat itu mengandungi titah begitu jelas kepada AG sebelum ini bahawasanya Najib layak mendapat perintah tahanan rumah selain pengurangan kes SRC daripada 12 ke enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

“Malah dalam afidavit saya sebelum ini, Sultan Pahang dah mengesahkan telah mengirimkan surat itu kepada AG di satu majlis Kompleks Kraftangan Tuanku Azizah, saya telah dititah mengadap dan tuanku sendiri memberitahu bahawa baginda perkenan salinan titah adendum tersebut,” katanya ketika berucap dalam program Demi Najib 2.0 di Pusat Konvensional Melawati di sini semalam.

Menurut EXCO kerajaan negeri Pahang itu, kewujudan titah adendum bukan karut dan menunjukkan terdapat implikasi besar jika beliau menipu tentang perkara tersebut dan boleh disabitkan kerana memfitnah Sultan Pahang.

Sebahagian peserta yang hadir dalam program Demi Najib 2.0 semalam.

“Saya ADUN Peramu Jaya diberi kepercayaan sebaga EXCO, kalua adendum itu palsu apa kesan pada saya? Memfitnah Tuanku Sultan Pahang, adakah saya berani buat sebagai EXCO kerajaan negeri Pahang, adakah saya sanggup memfitnah tuanku saya sendiri?

“Saya berani kerana benar kerana ia satu kepastian dan kebenaran malah hingga sekarang tak ada satu laporan polis pun terhadap saya, kalau saya berkata bohong, memfitnah atau berdusta sudah tentu berduyun-duyun laporan polis saya terima dan pihak istana sendiri yang akan buat laporan.

“Ia memang satu dokumen yang memang ada yang bukan olok-olok, sampai sekarang dalam kerajaan tak boleh jawab adakah titah adendum itu wujud atau tak, soalan mudah yes or no, tapi sampai sekarang tak boleh jawab. Kalau tak betul nafikan dan buat laporan polis,” katanya.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari depan bagi pendengaran rayuan Najib berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan Titah Adendum.

Jabatan Peguam Negara berkata, tarikh itu juga untuk Najib mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah adendum itu.

Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh YDPA ke-16 akan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Najib ketika ini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal selama 12 tahun susulan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button