JENAYAH & MAHKAMAH

Penolakan tahanan rumah Najib hakis kuasa prerogatif Agong – Shafee

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah disifatkan telah menghakis kuasa prerogatif penuh Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu, kata peguam utama bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Menurutnya, keputusan tersebut membawa implikasi besar terhadap kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya apabila mahkamah seolah-olah menetapkan bahawa segala keputusan berkaitan pengampunan mesti dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Kuasa Yang di-Pertuan Agong telah dicairkan melalui keputusan ini.

“Ia seolah-olah membawa maksud bahawa Baginda tidak boleh membuat keputusan pengampunan kecuali apabila bersidang bersama Lembaga Pengampunan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lobi mahkamah, hari ini.

Shafee berkata, dari sudut perlembagaan, Raja-Raja hanya diwajibkan membincangkan hal pengampunan bersama Lembaga Pengampunan, namun tidak semestinya terikat untuk membuat keputusan di dalam mesyuarat tersebut.

“Keputusan hari ini mencadangkan bahawa setiap keputusan mestilah dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, dan ini menimbulkan persoalan serius dari segi tafsiran kuasa budi bicara Raja,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan penghakiman yang disampaikan Hakim Alice Loke itu melibatkan beberapa isu kritikal yang menurutnya tidak dianalisis secara menyeluruh, sekali gus berpotensi membuka ruang campur tangan pihak politik dalam keputusan Lembaga Pengampunan.

“Kita sebelum ini mempunyai deretan keputusan mahkamah yang menegaskan bahawa kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa ihsan yang tidak boleh dicabar.

“Keputusan hari ini membuka pintu kepada cabaran sedemikian,” katanya lagi.

Shafee turut mempersoalkan implikasi keputusan tersebut yang menurutnya memberi gambaran seolah-olah hanya Ketua Pengarah Penjara mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah tahanan rumah.

“Ia seperti menterbalikkan logik. Kami akan membawa semua hujah ini dalam proses rayuan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, Najib berasa amat kecewa dengan keputusan berkenaan.
Menurut beliau lagi, perintah tambahan (addendum) yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2024 telah tertangguh pelaksanaannya hampir dua tahun.

“Ini adalah perintah Yang di-Pertuan Agong, namun pelaksanaannya tertangguh begitu lama.

“Terdapat beberapa keperluan lain berkaitan parol yang telah dibincangkan bersama Najib, namun belum didedahkan kepada umum,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib selepas mendapati perintah tambahan yang didakwa itu tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu dianggap tidak sah.

“Pemohon juga tidak berhak kepada perintah mandamus.

“Justeru, permohonan semakan kehakiman ini ditolak,” kata Hakim Alice ketika menyampaikan keputusan.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara asal 12 tahun dan denda RM210 juta kepada enam tahun penjara serta denda RM50 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button