Sultan Pahang titah masjid perlu diimarahkan, bukan hak eksklusif mana-mana pihak
KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar masjid di negeri ini dijadikan pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing.
Baginda bertitah, masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina, tetapi merupakan jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.
“Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhuwah sesama kita.
“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya, namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading di Rompin semalam yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Baginda turut mengingatkan umat Islam supaya masjid tidak dijadikan hak eksklusif mana-mana kelompok sehingga sebahagian masyarakat berasa terpinggir atau tidak didekati.
“Pastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut menyeru seluruh umat Islam terus berpegang teguh kepada akidah berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta menjauhi segala bentuk ajaran sesat dan penyelewengan yang boleh merosakkan keimanan dan keharmonian negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








