BERITA SEMASA

Anak muda perlu pilih pemimpin berdasarkan prestasi, bukan sentimen – Taufiq

PUTRAJAYA – Golongan muda perlu membuat pilihan politik berdasarkan prestasi dan fakta, bukannya dipengaruhi sentimen atau politik identiti semata-mata.

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, usaha itu menjadi antara objektif utama inisiatif Kuasa Orang Muda (KOM) yang dilancarkan sempena Bulan Rakan Demokrasi bagi meningkatkan literasi demokrasi dalam kalangan belia.

Menurut beliau, program tersebut merupakan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab dalam menentukan masa depan negara.

“Kita mahu memberikan pendedahan kepada anak muda tentang bagaimana memilih pemimpin berdasarkan data dan fakta, bukan berdasarkan sentimen semata-mata.

“Kita ingin membudayakan politik prestasi berbanding politik identiti. Prestasi kerajaan dan pemimpin perlu menjadi asas utama dalam membuat pilihan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bulan Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata, pelaksanaan Undi 18 menuntut kerajaan menyediakan platform yang dapat membantu anak muda memahami sistem demokrasi dan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan mengenai proses pilihan raya, sebaliknya bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa setiap undi mempunyai kesan besar terhadap hala tuju negara.

“Anak muda perlu memahami bahawa keputusan yang dibuat ketika mengundi akan menentukan hala tuju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Sebab itu kita mahu mereka membuat pilihan berdasarkan kefahaman, fakta dan prestasi, bukan dipengaruhi sentimen tertentu,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendekatan program itu akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi siri jelajah ke institusi pengajian tinggi (IPT), kolej serta komuniti.

“Selain itu, platform digital turut dimanfaatkan bagi memastikan lebih ramai golongan muda dapat mengikuti program berkenaan.

“Pendekatan kita bersifat neutral dan mengutamakan kepentingan negara. Kita mahu memberikan ilmu supaya anak muda bebas membuat pilihan berdasarkan kefahaman mereka sendiri,” katanya lagi.

Sepanjang Bulan Rakan Demokrasi, pelbagai program akan diadakan di seluruh negara termasuk Festival Kuasa Orang Muda x Mega Careers & Study Fair 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Ogos ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button