KBS ambil tindakan tegas kontraktor projek ‘gajah putih’ Kompleks Sukan Jasin
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor asal projek Pembinaan dan Penyiapan Kompleks Sukan Mini serta Kerja-Kerja Berkaitan di Bemban, Jasin, Melaka selepas projek berkenaan gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
KBS berkata, projek yang bertujuan menyediakan kemudahan sukan kepada masyarakat setempat itu merangkumi pembinaan pejabat, auditorium, dewan serbaguna, gelanggang sukan, asrama dan kafetaria.
“Projek berkenaan bermula pada 12 April 2021 dan sepatutnya siap pada 29 April 2024, namun kontraktor didapati gagal melaksanakan kerja dengan memuaskan serta tidak menunjukkan komitmen sewajarnya.
“Berikutan kegagalan mematuhi syarat-syarat kontrak termasuk tindakan meninggalkan tapak projek, KBS telah mengeluarkan Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor pada 10 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, tindakan tegas diambil demi menjaga kepentingan awam serta memastikan projek kemudahan sukan yang dirancang dapat direalisasikan.
Dalam perkembangan sama, kementerian memaklumkan projek berkenaan dijadualkan untuk ditender semula selewat-lewatnya pada awal Januari 2026 bagi memastikan pembinaan dapat diteruskan dan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.
“KBS kekal komited memastikan setiap projek pembangunan sukan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








