‘Senandung’ Mafidz rangkul Lagu Terbaik ALI 2024
KUALA LUMPUR – Lagu Senandung nyanyian kumpulan Mafidz diumum sebagai Lagu Terbaik pada Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 yang berlangsung meriah di JioSpace malam tadi.
Lagu berkenaan turut memenangi kategori Lagu Rock Terbaik, menjadikan Mafidz satu-satunya peserta yang membawa pulang dua anugerah utama dalam edisi kali ini.

Anugerah disampaikan oleh Taja daripada kumpulan Meet Uncle Hussain dan Emmett Ishak dari kumpulan legenda Butterfingers.
Acara tahunan yang kini memasuki edisi kelima itu terus menjadi platform penting buat penggiat muzik indie tempatan menonjolkan bakat tanpa mengira genre dan bahasa.

Sebanyak 15 finalis mempersembahkan lagu masing-masing dalam tiga kategori iaitu Pop, Hip Hop dan Rock sepanjang siaran langsung selama tiga jam setengah menerusi saluran YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie.
Acara turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Kyoto Protocol dan persembahan istimewa dari Seven Collar T-Shirt.
Berikut adalah senarai penuh pemenang ALI 2024:
🔹 Lagu Terbaik: Mafidz – Senandung
🔹 Lagu Rock Terbaik: Mafidz – Senandung
🔹 Lagu Pop Terbaik: Odelia Tirza – TV SHOW
🔹 Lagu Hip Hop Terbaik: B-Heart – Shh Shh
🔹 Persembahan Terbaik: Umar Akmal
🔹 Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita: Chylypdy – Kelabu 2024
Penjurian bagi anugerah utama dikendalikan oleh barisan juri profesional yang diketuai Wing Meng serta melibatkan nama-nama terkenal dalam industri seperti AG Coco, Irena Taib, Luca Sickta, Roshan Jamrock dan lain-lain.
Anugerah Persembahan Terbaik pula ditentukan melalui gabungan 70 peratus markah juri dan 30 peratus undian awam.
ALI 2024 turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM36,000, termasuk RM15,000 untuk pemenang Lagu Terbaik dan RM5,000 bagi setiap kategori lain.
Pentas Akhir ALI 2024 turut diserikan dengan kehadiran tetamu jemputan termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli, serta beberapa selebriti seperti Loca B, Shamaine Othman dan Sharifah Amani.
Program itu mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan, Rakita 107.9, Honda Motorcycle Malaysia dan rakan media antaranya Malaysia Tribune dan Music Addicts Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman rasmi di www.anugerahlaguindie.com.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








