Warzone World Championship tidak dapat kelulusan KBS
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihaknya.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, sebarang penganjuran sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
“KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara.
“Bagi sebarang penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak mendapatkan kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, Akta 576,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksi International Influencer Super Lightweight Champion WWC yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini mencuri perhatian apabila beberapa klip video tular memaparkan pertengkaran antara petarung dari Malaysia dan Indonesia.
Jaguh Muay Thai tanah air, Johan Ghazali, turut menegur secara terbuka tindakan berunsur provokatif itu yang menurutnya boleh memberi kesan tidak baik kepada penonton muda serta mencalar imej sukan tempur.
Johan turut memberi peringatan pentingnya penganjur bertanggungjawab dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukannya menimbulkan masalah.
“Sudah-sudahlah memalukan sukan ni pakcik. Saya bukan nak kurang ajar dengan orang tua, tetapi kalau orang tua perangai macam budak, siapa hendak hormat? Kita naikkan Muay Thai dari kosong, pakcik datang apabila dah hangat dan buat perangai bangang, siapa tak marah?
“Tolonglah cari penyelesaian dan bukannya masalah. Lihatlah sesuatu itu daripada skop lebih luas, jangan fikir hendak duit cepat sahaja,” kata Johan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








