
NIISe: Keputusan tepat perlu demi keselamatan negara
Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) amat penting bagi meningkatkan efisiensi, mengurangkan birokrasi, dan memperbaiki pengalaman pengguna dalam urusan imigresen di Malaysia.
Mengimbas kembali projek NIISe dahulunya dikenali sebagai MyIMMS telah dilancarkan pada 2017, projek itu pada mulanya dianugerahkan kepada Prestariang Berhad kini Awanbiru Resources Berhad sebelum ditamatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu kerana ia dianggap terlalu mahal iaitu melebihi RM3 bilion.
Dengan pantas, projek itu kemudiannya dihidupkan semula dan kemudiannya diberikan kepada Iris Corp yang juga goyah dan kontraknya ditamatkan pada Ogos 2023.
Kontrak yang dikurangkan pada RM1.1 bilion itu melibatkan penyepaduan data daripada 13 modul sistem kawalan sempadan sedia ada melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen.
Tiga syarikat besar telah disenarai pendek bagi mengendali projek ini iaitu Theta Edge Bhd (Theta Edge), HeiTech Padu Bhd (HeiTech) dan Dagang NeXchange Bhd (DNeX).
Justeru itu, penyaringan dan penetapan syarikat dalam mengendalikan sistem berkenaan perlu dibuat dengan teliti dan harus mengambil kira pengalaman syarikat berkenaan dalam industri IT.
Tambahan pula, dunia kini telah beralih kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu memberikan kesan negatif terhadap keselamatan siber yang memerlukan perhatian dan pengurusan yang lebih teliti.
Seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pelancaran Bulan Keselamatan Negara 2024 baru-baru ini, Kerajaan meletakkan keutamaan terhadap keselamatan siber selari dengan pertumbuhan pesat sektor digital negara.
Kegagalan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dalam sistem yang digunakan agensi kerajaan boleh membawa kepada risiko kebocoran maklumat yang tinggi.
Penulis berpendapat beberapa pertimbangan penting perlu diambil kira dalam pemilihan syarikat mengendalikan NIISe dan ia termasuklah kelayakan dan pengalaman kemampuan kewangan, kepakaran teknikal serta reputasi dan kualiti sesebuah syarikat.
Hal ini demikian kerana, kewangan yang kukuh akan mampu menampung modal kerja yang mencukupi serta perbelanjaan awal dan perbelanjaan operasi sepanjang tempoh projek.
Bagi aspek kepakaran teknikal pula, ianya diperlukan untuk melaksanakan projek yang memerlukan penggunaan teknologi terkini menerusi kaedah yang terbaik.
Selain itu, kualiti sesebuah syarikat juga penting bagi memastikan projek dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan.
Oleh sebab itu, penilaian menyeluruh terhadap faktor-faktor ini boleh membantu memastikan pemilihan syarikat yang sesuai untuk melaksanakan projek tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








