JIM gempur pusat hiburan: 89 warga asing ditahan termasuk pelacur asing, GRO
KUALA LUMPUR – Seramai 89 warga asing bersama empat rakyat tempatan diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gegar hasil serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras, baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan pada 9 Julai lalu oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu menyasarkan aktiviti pelacuran serta premis hiburan yang menggunakan khidmat wanita warga asing.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, dua buah premis telah diserbu sekitar pukul 3 petang dan hasil serbuan menyaksikan 26 wanita warga asing ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks.
“Mereka terdiri daripada enam wanita warga Thailand, lapan dari Indonesia, 11 wanita Vietnam serta seorang wanita Myanmar.
“Turut ditahan, dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai bekerja di premis tersebut, serta empat lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai ‘kapten’ atau penjaga premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan, kegiatan pelacuran itu beroperasi secara berselindung di premis hotel bajet, menawarkan perkhidmatan seks pada kadar antara RM160 hingga RM480.
Modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan wanita di laman sesawang dan pelanggan membuat tempahan melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum diarahkan ke lokasi pertemuan.
Dalam serbuan berasingan pada pukul 10.55 malam hari yang sama, JIM turut menyerbu sebuah pusat hiburan yang dipercayai menggaji wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Seramai 96 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 61 warga asing ditahan, termasuk 44 wanita warga Thailand, dua wanita Vietnam, empat wanita Laos, dua wanita Myanmar, serta lima lelaki Bangladesh dan empat lelaki Thailand yang disyaki bekerja di premis tersebut.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b), Akta Imigresen 1959/63, selain disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966,” katanya lagi.
Tambah beliau, tujuh rakyat tempatan turut dikenakan notis hadir bagi membantu siasatan.
“Jabatan Imigresen akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” tegas beliau.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














