BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

DBKL tingkat penguatkuasaan bandar sempena persiapan ASEAN 2025

KUALA LUMPUR – Demi merealisasikan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah ASEAN 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperketatkan penguatkuasaan terhadap peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah serta menghalang laluan awam dengan peralatan atau barangan tanpa kebenaran.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, tindakan tegas itu dilaksanakan bagi memastikan persekitaran bandar kekal kondusif, tersusun dan selamat, bukan hanya untuk delegasi antarabangsa yang bakal hadir.

“Operasi terbaharu telah dijalankan di beberapa lokasi dalam kawasan Parlimen Titiwangsa seperti Jalan Perkasa, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Keramat dengan beberapa sitaan dilakukan terhadap barangan yang mengganggu laluan awam.

“Pendekatan ini merupakan langkah penting dalam memastikan Kuala Lumpur mampu berfungsi sebagai sebuah bandar raya berdaya huni, yang menyediakan ruang awam yang bersih, selamat dan selesa untuk semua lapisan masyarakat.

“Aktiviti perniagaan yang menyalahgunakan laluan awam bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menimbulkan risiko keselamatan kepada pejalan kaki serta menyulitkan pergerakan harian warga kota.

“Oleh itu, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu hantaran media sosial rasmi DBKL.

DBKL menggesa semua peniaga mematuhi peraturan sedia ada serta mendapatkan kelulusan yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk perniagaan di ruang milik awam.

“Orang ramai disaran melaporkan sebarang kegiatan yang menjejaskan laluan awam melalui portal aduan rasmi DBKL di pautan https://adukl.dbkl.gov.my.

“Keindahan dan keteraturan Kuala Lumpur bukan hanya bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh budaya pematuhan undang-undang dan kesedaran sivik warganya,” tambahnya.

Sebagai ibu negara yang akan menjadi tumpuan rantau dalam tempoh terdekat, DBKL komited untuk memastikan setiap aspek pengurusan bandar ditangani secara menyeluruh daripada infrastruktur hinggalah kepada kelestarian ruang awam agar Kuala Lumpur dapat mencerminkan imej sebuah kota global yang moden, teratur dan inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button