Dasar RENEW galak guna semula bangunan lama di Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan melancarkan Dasar RENEW dan Garis Panduan Penggunaan Semula Bangunan Kuala Lumpur bagi menghidupkan semula bangunan lama dan terbiar di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dasar berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal, tetapi turut memberi penekanan terhadap aspek kelestarian karbon, nilai warisan dan kesejahteraan komuniti bandar.
“Berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), terdapat sebanyak 109 bangunan pejabat kosong di Kuala Lumpur dengan kadar kekosongan melebihi 40 peratus. Daripada jumlah itu, 84 bangunan berada di pusat bandar.
“Keadaan ini bukan sesuatu yang pelik kerana ia berpunca daripada perubahan cara bekerja dan gaya hidup termasuk trend kerja fleksibel serta penggunaan ruang co-working,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar RENEW di Taman Botani Perdana, di sini, hari ini.
Dr. Zaliha berkata, trend semasa menyebabkan banyak bangunan lama tidak lagi digunakan sepenuhnya, sekali gus memberi kesan negatif kepada nilai hartanah dan mencacatkan pemandangan bandar.
“Dasar RENEW digubal bagi memberi peluang kepada pemaju dan pihak berkepentingan untuk memanfaatkan semula bangunan lama menerusi insentif khas termasuk pengurangan caj pembangunan, kelulusan pantas (fast lane), kadar sewaan berinsentif untuk PKS dan komuniti, pengiktirafan karbon rendah serta geran padanan hijau.
“Kita mahu menarik lebih ramai pemaju menyertai inisiatif ini. Selagi bangunan itu selamat dan masih bernilai dari segi warisan serta ekonomi, pilihan terbaik adalah menggunakannya semula, bukan merobohkannya,” jelasnya lagi.
Dr. Zaliha turut berkata, penggunaan semula bangunan dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga tiga perempat berbanding pembangunan semula (redevelopment).
“Bagi setiap satu meter persegi bangunan yang diroboh dan dibina semula, pelepasan karbon boleh mencecah antara 800 hingga 1,200 kilogram karbon dioksida. Namun, jika digunakan semula, hanya sekitar 200 hingga 400 kilogram sahaja,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan dasar berkenaan sejajar dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) yang mengutamakan pandangan rakyat dalam setiap keputusan pembangunan.
Dalam pada itu, katanya, konsep RENEW akan dibentangkan di San Francisco minggu hadapan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan sebagai komitmen Malaysia dalam Davos Baukultur Alliance (DBA) di bawah kerangka circular urbanism yang sedang diterapkan di Wilayah Persekutuan.
Majlis pelancaran berkenaan turut disempurnakan di Rumah Kayu Taman Botani Perdana, yang bakal dijadikan Pusat Pendidikan Alam dan Perpustakaan Digital sebagai projek rintis konsep adaptive reuse.
“Apabila siap nanti, Taman Botani Perdana akan menjadi destinasi eko-warisan premium yang menggabungkan keindahan seni bina Melayu, biodiversiti dan pembelajaran digital,” katanya lagi.
Dr. Zaliha turut berharap pelaksanaan dasar RENEW dan garis panduan setiap agensi dapat menarik lebih banyak penyertaan pemaju dalam merealisasikan aspirasi menjadikan Kuala Lumpur ‘living city with cultural soul’ atau bandar hijau berjiwa budaya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








