Setiausaha negara AS tiba di Kuala Lumpur, sertai sidang ASEAN
SUBANG – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio memulakan lawatan sulungnya ke Malaysia hari ini sebagai sebahagian daripada siri pertemuan diplomatik di rantau itu, termasuk menghadiri persidangan utama ASEAN.
Beliau tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada pukul 7.30 pagi menaiki pesawat Boeing C-32, diiringi delegasi pegawai kanan, diplomat serta wakil media AS.
Ketibaan Rubio disambut oleh Setiausaha Bahagian Tugas-Tugas Khas, Kementerian Luar Negeri, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman; Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan serta Kuasa Usaha Kedutaan AS ke ASEAN, Kate Rebholz.
Menurut Kedutaan AS, Rubio akan menyertai siri mesyuarat penting berkaitan ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, termasuk Mesyuarat Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) yang berlangsung pada 10 dan 11 Julai.
Beliau turut dijadual mengadakan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen, petang ini.
“Kehadiran Rubio menandakan komitmen AS terhadap Perkongsian Strategik Komprehensif dengan ASEAN serta hubungan dua hala dengan Malaysia yang memberi manfaat bersama kepada rakyat di kedua-dua rantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, laporan media antarabangsa menyebut pertemuan Rubio dan Anwar dijangka turut menyentuh isu tarif 25 peratus yang dikenakan terhadap barangan Malaysia oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump yang diumumkan baru-baru ini.
Penganalisis politik serantau dari Merdeka Centre, Rizal Hamdan berpandangan lawatan itu membuka ruang penting bagi menyemak semula dasar tarif semasa yang dilihat boleh menjejaskan hubungan dagangan antara Washington dan negara-negara ASEAN.
“Sebagai rakan strategik, AS tidak seharusnya mengenakan tekanan berlebihan melalui tarif yang membebankan.
“Tindakan sedemikian hanya akan mendorong negara-negara Asia Tenggara mencari pilihan lain termasuk memperluas kerjasama dengan China,” jelasnya.
Beliau turut menyarankan agar lawatan itu dimanfaatkan untuk mempercepat perbincangan pelaksanaan Kod Tatakelakuan (Code of Conduct) di Laut China Selatan, yang sekian lama tertangguh.
“ASEAN memerlukan rakan dialog yang konsisten dalam menangani isu keselamatan maritim serantau, dan AS perlu menunjukkan komitmen lebih konkrit dalam perkara ini,” jelasnya.
Lawatan Rubio itu mencerminkan tekad Washington untuk terus menyokong kerangka Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan stabil, di samping memperkukuh jalinan strategik dengan negara-negara anggota ASEAN.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








