Operasi bersepadu ‘jerat’ mat rempit, hampir 800 saman dikeluarkan
KUALA LUMPUR – Ribuan penunggang motosikal yang berkumpul dan melakukan aksi berbahaya di sekitar Jalan Semarak digempur pihak berkuasa dalam operasi bersepadu awal pagi tadi.
Operasi yang dijalankan dari pukul 8 malam hingga 5 pagi itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (KPJ) melibatkan dua fasa di beberapa lokasi termasuk Jalan Semarak, Jalan Pahang dan Jalan Genting Kelang.
Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat aktiviti lumba haram selain aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ yang mengganggu pengguna jalan raya lain.
Namun keadaan bertukar kecoh apabila pihak polis mengepung laluan secara menyeluruh, menyebabkan seorang lelaki bertindak meninggalkan motosikalnya sebelum melarikan diri bagi mengelak ditahan.
Timbalan Ketua JSPTKL, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kira-kira 2,000 kenderaan termasuk motosikal diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 797 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala 80 motosikal disita untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Menurut beliau, kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa berusia antara 15 hingga 21 tahun.
Dalam operasi sama, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, polis juga sedang mengesan seorang lagi penunggang motosikal yang melarikan diri daripada pemeriksaan, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Polis 1967 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, Suffian berkata tiga lokasi tersebut dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi aktiviti penunggang motosikal berkumpul dan melakukan aksi berbahaya.
“Kami sering menerima aduan orang ramai mengenai gangguan serta bunyi bising di kawasan ini kerana lokasinya berhampiran Institut Jantung Negara.
“Keutamaan perlu diberikan kerana ia bukan sahaja menjejaskan ketenteraman awam, malah boleh mengganggu pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








