Kota MADANI bukan sekadar teknologi, tetapi ruang hidup inklusif – PM
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan konsep Kota MADANI dan Smart City Kuala Lumpur adalah langkah penting bagi memastikan rakyat dapat merasai manfaat daripada arus kemajuan teknologi, di samping memperluas peluang dan memperkasa seluruh warga kota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kota yang benar-benar pintar tidak boleh berlandaskan teknologi semata-mata, sebaliknya mesti menjadi ruang hidup yang inklusif, lestari dan berbudaya.
Justeru beliau menegaskan, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) bukan lagi gagasan masa depan, sebaliknya sudah menjadi realiti yang sedang dirintis bersama.
“Seperti ditegaskan Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah melalui teori Umran Hadari, kota merupakan pusat tamadun.
“Malah penulis Amerika Syarikat, Mark Twain juga pernah mengingatkan bahawa sesebuah kota tidak seharusnya menjadi ‘hutan konkrit yang tandus budaya’,” katanya selepas merasmikan SmartCity Expo Kuala Lumpur hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pembangunan kota pintar mesti berteraskan nilai, warisan dan jati diri bangsa agar seiring dengan kecanggihan teknologi yang diterapkan.
“Ikhtiar membangunkan Kota MADANI dan Smart City Kuala Lumpur adalah tekad kita untuk menjadikan Malaysia bukan sahaja bersaing dalam bidang ekonomi dan inovasi, malah turut menegakkan keadilan sosial, kelestarian alam sekitar serta maruah nasional,” katanya.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan semua negeri di Malaysia telah memulakan inisiatif masing-masing ke arah membangunkan bandar pintar atau smart city.
Beliau berkata, usaha tersebut sudah berjalan sejak beberapa tahun lalu, termasuk di Pulau Pinang yang kini mempunyai pusat kawalan khas untuk memantau urusan trafik, keselamatan dan kebersihan.
Bagaimanapun, katanya, inisiatif yang dilaksanakan setakat ini bergerak secara berasingan tanpa penyelarasan menyeluruh.
“Untuk merealisasikan visi AI Nation, semua inisiatif sedia ada perlu digabungkan agar aspek seperti perkongsian data dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurutnya, kerajaan kini sedang meneliti kaedah bagi menyelaras semua penyelesaian di peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya dapat dikembangkan ke seluruh negara.
“Ia termasuk bagaimana data boleh dikongsi, disimpan serta dimanfaatkan bagi mencari lebih banyak penyelesaian berasaskan inovasi,” katanya.
Hari kedua Smart City KL Expo turut menyaksikan empat pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), antaranya kerjasama Digital Nasional Berhad bersama Ericsson untuk melancarkan program latihan 5G, AI dan IoT yang menyasarkan 40,000 penjawat awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








