Malaysia kekal tegas pilih jalan damai tangani konflik Asia Barat – Anwar
KUALA LUMPUR – Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian mesti ditangani melalui jalan damai susulan ketegangan yang kian meruncing di Asia Barat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pendirian itu dizahirkan dalam perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.
Katanya, perbualan tersebut turut menjurus kepada perkembangan semasa di rantau berkenaan yang semakin meruncing dan memberi implikasi terhadap keselamatan serantau serta kesejahteraan rakyat.
“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam masa sama, beliau turut menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku.
Terdahulu, Anwar berkata, perbualan tersebut turut diisi dengan pertukaran ucapan Aidilfitri selain mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat seluruh rakyat di kedua-dua negara.
“Kami saling bertukar ucapan Aidilfitri, sambil mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat seluruh rakyat di kedua-dua negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara merupakan satu-satunya jalan ke hadapan bagi meredakan ketegangan serta mengembalikan kestabilan.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan tuntutan kemanusiaan dan prinsip keadilan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








