BERITA SEMASA

Cadangan kaedah urus bazar Ramadan seluruh ibu negara akan dibentang ke Kabinet

KUALA LUMPUR – Cadangan bagi kaedah pengurusan tapak bazar Ramadan di seluruh ibu negara akan dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata, keputusan mengenai cadangan itu kemudiannya akan dijelaskan dalam satu sidang media khas.

“Saya akan bentangkan kepada Kabinet dulu, kertas (kerja) sudah disediakan.

“Selepas itu, saya akan mengadakan sidang media,” katanya setelah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Hannah berkata demikian ketika ditanya sama ada DBKL akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan lesen perniagaan dan penyelenggaraan Bazar Ramadan di ibu negara sebagaimana pelaksanaan pada tahun lalu, atau melantik mana-mana persatuan sebagai ‘orang tengah’.

Tahun lepas, DBKL melaksanakan langkah baharu dengan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan Bazar Ramadan di ibu negara bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan, selain pengurusan yang lebih baik.

Langkah itu, menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, bagi menangani menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan di Bazar Ramadan.

Pada 2 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara berhenti menggunakan ejen atau orang tengah dalam urusan permohonan permit perniagaan Bazar Ramadan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button