Yuran lesen gimnasium dipotong 80 peratus, sokong agenda Bandar Sihat
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran lesen operasi gimnasium di ibu negara sebanyak 80 peratus berkuat kuasa Januari 2026 sebagai langkah proaktif memperkukuh agenda Bandar Sihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar baharu itu ditetapkan pada RM10 bagi setiap meter persegi berbanding RM50 sebelum ini, susulan sesi libat urus bersama pemain industri termasuk Persatuan Pengusaha Gimnasium Malaysia (PPGM).
Menurut beliau, langkah tersebut diambil susulan trend membimbangkan kes penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi khususnya di kawasan bandar yang berdepan gaya hidup tidak aktif serta kekangan masa untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kadar rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang berlebihan berat badan mencecah 32.6 peratus, bersamaan kira-kira 6.86 juta orang.
“Tiga kadar tertinggi direkodkan di Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur sebanyak 40.6 peratus, diikuti Putrajaya (35.5 peratus) dan Labuan (34.8 peratus).
“Kedudukan ini menunjukkan beban kesihatan awam lebih tertumpu di kawasan metropolitan dan pusat pentadbiran Persekutuan, justeru memerlukan pendekatan dasar yang lebih responsif serta bersasar di peringkat bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seiring pengurangan kadar lesen itu, beliau berkata Kerajaan MADANI menggalakkan pengusaha gimnasium menyalurkan manfaat tersebut kepada komuniti melalui pendekatan berimpak tinggi.
Antaranya termasuk menawarkan diskaun keahlian bagi sesi senaman antara jam 6 hingga 8 pagi serta 5 hingga 7 petang bagi menggalakkan aktiviti fizikal di luar waktu puncak selain membantu mengurangkan kesesakan trafik bandar.
Pengusaha juga digalakkan menyediakan kadar atau diskaun khas kepada warga emas sebagai sokongan kepada penuaan aktif dan sihat.
Tambah beliau, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekosistem bandar yang lebih aktif dan inklusif demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








