BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Pilihan raya PBT bukan keputusan satu parti – Hannah Yeoh

PUTRAJAYA – Kebimbangan mengenai pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak seharusnya dibangkitkan secara berasingan kerana sebarang keputusan berkaitan perkara itu akan diputuskan secara kolektif oleh Kerajaan Perpaduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, isu berkenaan tidak boleh digerakkan oleh satu parti sahaja, sebaliknya perlu dibincangkan bersama semua komponen kerajaan bagi memastikan sebarang dasar yang diputuskan mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Untuk pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) itu jangan risau kerana bukan satu parti boleh bergerak sendiri, ini adalah Kerajaan Perpaduan bermaksud kita kena bincang dengan semua,” katanya.

Hannah berkata demikian dalam sidang media selepas pertama kali melakukan sesi merakam masuk kerja (clock-in) bersama timbalannya, Datuk Lo Su Fui di Bangunan Seri Wilayah di Jabatan Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Baca juga : Kaum, warna kulit bukan penentu keupayaan memimpin – Hannah

Menurut Hannah, agenda utama beliau ketika ini adalah memastikan Wilayah Persekutuan menjadi kawasan yang bersih, bukan sahaja dari segi persekitaran fizikal, malah merangkumi aspek tadbir urus yang telus dan berintegriti.

“Keutamaan saya adalah memastikan pentadbiran di Wilayah Persekutuan ini bersih dari sudut persekitaran dan juga tadbir urus,” katanya ketika mengulas pelbagai isu berkaitan pentadbiran tempatan.

Mengulas isu Kampung Baru, Kampung Sungai Baru dan perkara berkaitan PBT, Hannah berkata, beliau akan mendapatkan taklimat terperinci daripada pegawai-pegawai berkaitan sebelum sebarang pendirian atau keputusan dibuat, memandangkan isu berkenaan telah lama dibangkitkan termasuk di Parlimen.

Beliau berkata, segala maklumat yang diperoleh akan diteliti secara menyeluruh dan isu-isu utama yang dibangkitkan akan dibawa untuk dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Dalam masa sama, Hannah memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung perkara berkenaan.

“Segala urusan dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh mantan menteri, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa akan diteruskan. Saya tidak mahu membuat sebarang komen awal dan akan menunggu maklum balas lengkap supaya perbincangan dapat dibuat secara mendalam sebelum apa-apa keputusan diputuskan,” katanya.

Menyentuh kebimbangan mengenai kelangsungan kampung-kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, Hannah memberi jaminan bahawa perkara itu akan terus diberi perhatian serius.

Beliau berkata, rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Segambut yang bertanggungjawab terhadap Kampung Sungai Penchala membuktikan pendiriannya yang konsisten dalam mempertahankan kewujudan kampung tradisi Melayu.

“Mencari kawasan untuk pembangunan komersial itu mudah, tetapi untuk mengekalkan kampung tradisi Melayu amat sukar. Sebab itu ia perlu dipelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button