Putrajaya Aktif dilancar, usaha tangani obesiti kanak-kanak
PUTRAJAYA – Program Putrajaya Aktif dilancarkan sebagai inisiatif khusus bagi menangani isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak melalui penglibatan aktif dalam sukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, program berkenaan memperkenalkan kelas sukan seperti sepak takraw dan lompat tali yang bukan sahaja mudah dilaksanakan, malah tidak memerlukan kos tinggi.
“Dua sukan ini dipilih kerana kanak-kanak boleh berlatih sendiri di rumah tanpa memerlukan peralatan mahal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, kelas tersebut akan dijalankan secara berterusan sepanjang tahun dengan kekerapan dua kali sebulan, iaitu pada minggu kedua dan keempat, melibatkan 50 peserta bagi setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya.
Jelasnya, pelaksanaan program itu turut mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan pemantauan kesihatan termasuk penetapan petunjuk prestasi (KPI) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Peranan kita melalui Perbadanan Putrajaya adalah menyediakan platform dan memupuk minat kanak-kanak untuk bersukan, manakala aspek kesedaran serta pemakanan perlu digerakkan bersama kementerian lain,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendekatan projek rintis itu akan dipantau terlebih dahulu bagi memastikan kadar kehadiran peserta kekal tinggi dan tidak berlaku keciciran, khususnya bagi program percuma.
“Kita mahu lihat keberkesanan dahulu sebelum mempertimbangkan peluasan ke wilayah lain seperti Kuala Lumpur,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








