BERITA SEMASA

DBKL laksana tiga penambahbaikan mudahkan urusan peniaga di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan tiga penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, tiga penambahbaikan berkenaan terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira latar belakang atau jenis premis.

“Bagi permit meja dan kerusi di kaki lima, bayaran akan ditetapkan pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set meja dan kerusi.

“Permohonan boleh dikemukakan melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta kelebaran kaki lima,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu beliau bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud mengadakan sesi libat urus bersama wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur, manakala sesi libat urus terdahulu bersama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) turut menyentuh isu berkaitan pembukaan semula premis.

Sesi libat urus itu diadakan bagi mendengar isu dan cabaran yang dihadapi pengusaha premis makanan, selain mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses penyampaian perkhidmatan DBKL.

Dalam pada itu Hannah berkata, bagaimanapun, setiap kelulusan tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda dan akses bagi operasi kecemasan tidak terhalang.

Katanya, bagi kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak membabitkan perubahan struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL.

“Permit berkenaan boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing.

“Langkah itu bertujuan mempercepatkan proses permohonan bagi kerja berisiko rendah, tanpa menjejaskan keperluan pematuhan serta aspek keselamatan,” katanya.

Sementara itu katanya, premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbangkan untuk dibuka semula seawal 24 jam selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.

Bagaimanapun katanya, pembukaan semula tidak dilakukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan telah dipenuhi.

Beliau berkata, ketiga-tiga penambahbaikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses yang tidak perlu serta mewujudkan persekitaran perniagaan lebih kondusif di Kuala Lumpur.

Pada masa sama katanya, DBKL akan memastikan setiap kelonggaran proses dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam.

Ujarnya, penambahbaikan itu juga dijangka membantu menyeragamkan proses, syarat dan pelaksanaan penguatkuasaan di peringkat cawangan supaya peniaga menerima maklumat yang lebih jelas serta konsisten.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button