DBKL roboh 61 struktur perniagaan haram di PPR Seri Cempaka
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 61 struktur perniagaan yang dibina tanpa kelulusan di PPR Seri Cempaka, Lembah Pantai, di sini semalam bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Projek Lestari Niaga.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan melibatkan perobohan dan pembersihan struktur dijalankan selepas pemilik premis mematuhi notis penguatkuasaan serta notis pengosongan tapak yang dikeluarkan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Struktur yang dirobohkan melibatkan pelbagai jenis aktiviti perniagaan termasuk premis makanan dan minuman, kedai runcit, stor, perkhidmatan am serta lain-lain perniagaan yang dibina tanpa kelulusan.
“Kerja-kerja merobohkan 61 struktur dan pembersihan kawasan berjalan lancar selepas semua barangan serta peralatan perniagaan dipindahkan oleh pemilik premis,” kata DBKL menerusi hantaran di Facebook.
DBKL berkata, pemotongan bekalan elektrik dan air turut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan kerjasama TNB dan Air Selangor sebelum kerja-kerja perobohan dijalankan.
Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan Projek Lestari Niaga yang bertujuan menambah baik kawasan perniagaan di lokasi berkenaan.
DBKL menegaskan pihaknya akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan aktiviti pembinaan dan perniagaan tanpa kelulusan boleh menyalurkannya kepada DBKL menerusi saluran rasmi agensi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















