BERITA SEMASAJABATAN WILAYAH PERSEKUTUAN

DBKL lancar Local Action 21 Kuala Lumpur 2040, ukur pembangunan bandar

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Local Action 21 Kuala Lumpur 2040 sebagai penjenamaan semula kepada Local Agenda 21 Kuala Lumpur sekali gus menandakan peralihan penting daripada agenda kepada tindakan nyata demi pembangunan mampan ibu negara.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Laman Sinergi LA21KL, Taman Tasik Titiwangsa semalam disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

DBKL
Maimunah mendengar penerangan peserta pertandingan Rekabentuk Landskap Kebun Kejiranan Bandar Local Action 21 Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelajar sekolah dalam program tersebut.

Menurut DBKL, inisiatif baharu itu bertujuan memastikan setiap perancangan pembangunan bandar diterjemahkan kepada tindakan yang boleh diukur, dirasai dan memberi manfaat secara langsung kepada warga kota di taman, lorong serta kejiranan mereka.

“Pelaksanaan Local Action 21 turut mengiktiraf kejayaan pelbagai inisiatif hijau sebelum ini, termasuk Kebun Kejiranan Bandar yang berjaya memperkukuh semangat komuniti melalui aktiviti lestari dan memperindah persekitaran setempat,” kata DBKL melalui hantaran di media sosial.

Local Action 21 Kuala Lumpur 2040 turut menjadi wadah komuniti untuk menterjemah matlamat Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 melalui tindakan sebenar seperti pembinaan pocket park, inisiatif keselamatan jalan raya, pengasingan sisa, mobiliti mikro serta penyediaan ruang awam yang lebih inklusif.

Konsep 4P iaitu People, Public, Private dan Partnership menjadi asas pelaksanaan inisiatif tersebut yang menggalakkan kolaborasi antara komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Antara sokongan penting termasuklah sumbangan 70,000 pokok oleh YTL di bawah projek Laman Sinergi 2025.

DBKL
Antara persembahan menarik oleh kumpulan pelajar sempena pelancaran Local Action 21 Kuala Lumpur 2040.

“Menjelang 2026, Local Action 21 Kuala Lumpur akan terus diperluas melalui penubuhan Zon Aksi Komuniti dengan bantuan mikro geran, latihan serta padanan rakan strategik bagi memperkasa inisiatif hijau, keselamatan, kebersihan dan kebajikan sosial di peringkat komuniti.

“Usaha ini diharap menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih mampan, berdaya tahan, berdaya huni serta disayangi semua warga,” tambah kenyataan itu lagi.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah bagi Pertandingan Rekabentuk Landskap Kebun Kejiranan Bandar Local Action 21 Kuala Lumpur.

Ia merupakan pengiktirafan terhadap kreativiti dan usaha institusi pendidikan serta komuniti dalam membangunkan kebun bandar yang mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button