
100,000 pengunjung disasar sempena Karnival Wilayah Persekutuan, POD2025
PUTRAJAYA – Seramai 100,000 pengunjung disasarkan menghadiri Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya (POD) 2025 yang berlangsung selama empat hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, penganjuran acara itu adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam membawa perkhidmatan terus kepada rakyat dengan lebih mudah dan efisien.

“Penganjuran POD dalam dua tahun terakhir telah berjaya menjana pulangan ekonomi yang memberangsangkan dengan kutipan keseluruhan sehingga RM15 juta.
“Objektif utama acara itu adalah untuk memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta tanpa perlu berkunjung ke pelbagai agensi atau pejabat kerajaan secara berasingan,” katanya ketika merasmikan karnival tersebut di Dewan Seri Siantan, Putrajaya, hari ini.

Menurut Zaliha, karnival yang juga sebahagian daripada Sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-51 itu melibatkan penyertaan 450 vendor dan pempamer.
“Ia terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan swasta, syarikat telekomunikasi, pameran kerjaya, produk pelancongan, perbankan, TVET, GLC, agro serta produk hiliran, selain gerai jualan makanan dan minuman.
“Tapak acara telah dibahagikan kepada 12 zon dengan pengisian pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya lagi.
Tambahnya, penganjuran POD2025 kali ini bukan sahaja dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), tetapi turut mendapat kerjasama kementerian, agensi kerajaan, syarikat swasta, perbankan, industri telekomunikasi, syarikat hartanah serta pelancongan.
“Kerjasama itu amat penting bagi memastikan kejayaan POD2025, di mana ia melibatkan penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh di bawah satu bumbung,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








