Kritis dasar kerajaan: 27 penjawat awam kena tindakan tatatertib
KUALA LUMPUR – Seramai 27 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib tahun lalu kerana membuat kenyataan awam termasuk mengkritik dasar kerajaan, menurut data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2024.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kes berkenaan direkodkan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Beliau menegaskan, kenyataan awam tanpa kawalan terutama melibatkan ketepatan data, berpotensi menimbulkan kegelisahan awam yang tidak wajar.
“Buat masa ini, kerajaan berpandangan peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan pegawai awam sentiasa mematuhi tatakelakuan yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah penjawat awam yang dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap dasar kerajaan, serta sama ada garis panduan kebebasan bersuara dalam perkhidmatan awam akan disemak semula.
Pada 20 Julai lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara dengan menegaskan tindakan itu bertentangan dengan prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang termaktub dalam Rukun Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








