Jangan ada pihak cabar, pandang rendah sistem matrikulasi, asasi dan STPM – Zambry
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan atau desakan melampau yang boleh mencetuskan keresahan berhubung isu laluan kemasukan ke universiti awam (UA).
Beliau berkata, kementeriannya sentiasa berusaha memastikan peluang pendidikan diberikan secara adil dengan mengambil kira prestasi akademik, agihan demografi dan latar belakang sosio-ekonomi, khususnya golongan B40.
“Setiap tahun ada mahasiswa yang mendapat tawaran, ada yang tidak, dan ada juga yang memohon pertukaran. Semua ini adalah proses biasa yang sudah lama dilakukan.

“Sebab itu saya menyeru pihak tertentu supaya jangan menggunakan kesempatan ini untuk memenuhi matlamat kumpulan atau kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan video, hari ini.
Menurut Zambry, sistem sedia ada seperti matrikulasi, asasi dan STPM terbukti melahirkan graduan cemerlang serta berfungsi dengan baik dalam memenuhi keperluan negara.
“Janganlah ada pihak yang cuba mencabar atau memandang rendah sistem yang telah lama berfungsi dengan baik.
“KPT sentiasa memastikan sistem UPU berjalan dengan lancar dan usaha penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kementerian terbuka menerima sebarang cadangan bernas daripada semua pihak namun menolak sebarang manipulasi yang hanya bertujuan mengeruhkan keadaan.
“Sebaliknya, marilah kita sama-sama memperkukuh keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara demi masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.
Terdahulu, kira-kira 200 mahasiswa daripada 20 universiti berhimpun dalam satu perhimpunan aman sebelum menyerahkan memorandum mempertahankan program matrikulasi kepada pihak KPT.
Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kepimpinan dan Jati Diri, Bahagian Hal Ehwal Mahasiswa, Jabatan Pendidikan Tinggi, Asyraf Radzwan.
Dalam kenyataannya, Majlis Perundingan Mahasiswa Kebangsaan (MPPK) menegaskan pendirian mempertahankan matrikulasi sebagai salah satu laluan penting ke menara gading.
Pengerusi MPPK, Muhammad Haykal Halid berkata pemansuhan program itu hanya akan mengecilkan peluang akses pendidikan dan menjejaskan masa depan ribuan mahasiswa.
“Program matrikulasi telah terbukti menyediakan landasan efektif untuk melahirkan mahasiswa cemerlang dan menampung keperluan tenaga mahir negara.
“Kami menolak sebarang desakan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan dalam masyarakat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







