Mengapa perlu merayakan ketika orang lain menderita? – tegur Zambry terhadap Bee Yin
KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegur Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang meraikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Zambry berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dilontarkan ketika pihak lain sedang berdepan penderitaan dan kesusahan.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain.
“Hidup ini adalah satu kitaran.
Ingatlah bahawa para pemimpin anda juga tidak maksum dan tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu dalam reaksi segera berhubung keputusan mahkamah itu, Setiausaha Publisiti DAP itu menyifatkannya sebagai berita yang menggembirakan sempena sambutan Tahun Baharu 2026.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memutuskan Najib kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO, bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








