BAeK PTPTN diperluas, 10,000 pelajar miskin terima manfaat RM210 juta
KULAI – Seramai 10,000 pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar bakal menerima manfaat Biasiswa Anak eKasih (BAeK) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tahun ini dengan jumlah peruntukan sebanyak RM210 juta.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, jumlah penerima itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding 5,800 pelajar yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 tahun lalu dengan peruntukan RM120 juta.
Menurutnya, peningkatan tersebut dilaksanakan susulan pengumuman terkini di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani masalah kewangan.
“Melalui pengumuman terkini di bawah RPTM 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa atau pendidikan percuma PTPTN ini telah ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi penyerahan BAeK PTPTN kepada dua penerima di Johor semalam.
Turut hadir Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Johor, Mazni Ruslan.
Zambry menjelaskan, penerima yang layak mestilah berdaftar dalam pangkalan data eKasih serta mengikuti pengajian sepenuh masa di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bermula 1 Januari lalu.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai dan pihak IPTA supaya memaklumkan kepada PTPTN sekiranya terdapat pelajar yang layak menerima manfaat berkenaan agar bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh kepada golongan sasar.
Sementara itu, Norliza berkata, sehingga 31 Mei lalu, seramai 402 pelajar di seluruh negara telah menerima manfaat BAeK PTPTN melibatkan peruntukan sebanyak RM8.79 juta sejak program itu diperkenalkan awal tahun ini.
Menurut beliau, biasiswa tersebut terbuka kepada pelajar tempatan berusia tidak melebihi 25 tahun, mengikuti kursus yang berdaftar dengan PTPTN, memiliki akaun Simpan SSPN yang aktif serta tidak mempunyai tunggakan pinjaman.
“Penerima akan menerima biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi peringkat diploma, RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda Sains,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan perlu dibuat menerusi aplikasi web myPTPTN dan pinjaman PTPTN akan diluluskan terlebih dahulu bagi memastikan kelangsungan pengajian pelajar sebelum ditawarkan biasiswa sekiranya memenuhi syarat kelayakan.
Dalam perkembangan sama, dua penerima awal BAeK PTPTN, Alin Nairien Wong Mohd Allif Wong, 20, dan Muhammad Amar Khoo Arif Khoo, 21, menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.
Alin Nairien yang mengikuti Diploma Pengurusan Acara di Politeknik Ibrahim Sultan berkata, biasiswa itu memberi kelegaan kepada keluarganya yang bergantung kepada pendapatan ibu dan abang sulung selepas kematian bapanya pada 2019.
“Biasiswa ini meringankan beban mama dan abang. Saya lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan membahagiakan keluarga suatu hari nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, Muhammad Amar yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Keselamatan Siber di Universiti Teknikal Malaysia Melaka berkata, bantuan tersebut dapat mengurangkan beban kewangan bapanya yang menyara tiga orang anak.
Penyerahan BAeK PTPTN akan diteruskan minggu depan melibatkan dua lagi penerima dari Melaka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








