Dakwaan 30,000 pelajar masuk universiti awam melalui ‘pintu belakang’ tuduhan serius, perlu disokong bukti sahih – Zambry
TANJUNG MALIM – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan dakwaan kononnya antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam menerusi pintu belakang merupakan tuduhan yang amat serius dan perlu disokong dengan bukti yang sahih.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang mengemukakan tuduhan sedemikian, khususnya individu yang mempunyai latar belakang akademik, perlu berpegang kepada prinsip keilmuan yang menuntut setiap kenyataan disandarkan kepada fakta, data dan bukti yang boleh dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, budaya akademik menekankan perbahasan yang beradab, beretika dan membina, bukannya berasaskan persepsi, andaian atau angka yang tidak dapat disahkan.
“Saya sentiasa mengambil pendekatan terbuka terhadap pelbagai pandangan dan kritikan yang dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta institusi pendidikan tinggi negara.
“Namun, keadaan menjadi berbeza apabila kritikan bertukar menjadi tuduhan serius, keterlaluan dan tidak bersandarkan fakta yang sahih,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Program Rintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.
Beliau berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama baik universiti awam, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara.
Malah katanya, naratif yang dibina seolah-olah menggambarkan peluang pelajar yang layak telah dirampas oleh pihak tertentu demi kepentingan kewangan, sekali gus memberi implikasi besar terhadap persepsi masyarakat, khususnya ibu bapa dan pelajar yang sedang melalui proses kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Dalam pada itu Zambry menjelaskan bahawa sistem kemasukan ke universiti awam di Malaysia dilaksanakan melalui mekanisme yang jelas, telus serta berasaskan merit dan syarat kelayakan yang telah ditetapkan.
“Universiti-universiti awam sentiasa komited memastikan akses pendidikan tinggi diberikan secara adil kepada mereka yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Sekiranya benar terdapat antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti melalui saluran yang tidak sah atau menyalahi peraturan, maka pihak yang membuat dakwaan tersebut perlu mengemukakan bukti dan fakta yang menyokong kenyataan berkenaan,” katanya.
Beliau menegaskan angka yang disebut dalam mana-mana kajian atau kenyataan awam perlu mempunyai sumber, metodologi dan asas yang boleh disemak serta diuji kebenarannya.
Sehubungan itu katanya, beberapa universiti awam telah mengambil langkah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan bertujuan menutup ruang kritikan atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya bagi memastikan setiap tuduhan dapat dibuktikan dan dipertanggungjawabkan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya.
“Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menyebarkan tuduhan tanpa asas. Kritikan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi dan budaya intelektual yang sihat, namun ia mestilah berpaksikan fakta, bukti dan kejujuran intelektual.
“Dalam dunia akademik, hujah dijawab dengan fakta, analisis disokong dengan data dan tuduhan yang serius mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh,” katanya.
Beliau menambah, KPT akan terus mempertahankan integriti institusi pendidikan tinggi negara dan memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia tidak dicemarkan oleh dakwaan yang tidak berasas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















