Menu Kasih Siswa diperkenal, KPT pantau harga makanan di IPT
Menu Kasih Siswa diperkenal, KPT pantau harga makanan di IPT
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan inisiatif Menu Kasih Siswa bagi membantu meringankan kos sara hidup pelajar, khususnya dalam memastikan harga makanan di institusi pengajian tinggi (IPT) kekal berpatutan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, inisiatif tersebut merupakan penambahbaikan kepada konsep Menu Rahmah dengan pendekatan lebih menyeluruh, mengambil kira kebajikan pelajar termasuk golongan kurang berkemampuan.
“Sekarang ini kita perkenalkan pula Menu Kasih Siswa supaya mengambil kira keadaan pelajar. Banyak universiti di negara ini mempunyai program kebajikan masing-masing dan saya yakin mereka akan bersama membantu pelajar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurut beliau, KPT turut memberi perhatian terhadap aduan kenaikan harga makanan di kafeteria, khususnya di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan telah meminta pengusaha agar lebih bertanggungjawab.
“Kita telah maklumkan kepada pengusaha supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya, terutama kepada pelajar yang kurang berkemampuan. Perkara ini perlu ditangani secara berhemah melalui perbincangan dua hala,” katanya lagi.
Beliau berkata, kementerian akan terus memantau situasi tersebut dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan lanjut sekiranya pihak terlibat gagal memberikan kerjasama.
Dalam perkembangan sama, Zambry turut memaklumkan usaha memperkukuh budaya menabung dalam kalangan pelajar melalui pelbagai inisiatif kewangan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang kini mencatatkan simpanan melebihi RM17 bilion.
Selain itu, beliau berkata, program Celik Kewangan Belia MADANI yang dilaksanakan bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) turut menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan kira-kira 200,000 pelajar setakat ini.
“Dengan insentif pelaburan permulaan RM50 yang disediakan, saya yakin lebih ramai pelajar akan menyertai program ini dan sasaran satu juta penyertaan menjelang 2030 mampu dicapai,” katanya lagi.
Tambah beliau, kejayaan program tersebut adalah hasil kerjasama erat antara KPT dan institusi pendidikan termasuk universiti, politeknik serta kolej komuniti dalam memperkasa literasi kewangan generasi muda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








