Tidak adil label IPT ‘lubuk’ rasuah – Zambry
KUALA LUMPUR – Melabel institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sebagai ‘lubuk’ rasuah adalah tidak adil dan boleh menjejaskan reputasi sektor pendidikan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir betkata, walaupun tidak menafikan kemungkinan wujud kes terpencil, gambaran seolah-olah IPT secara keseluruhan sarat dengan rasuah adalah tidak tepat dan melampau.
“Saya tidak katakan semuanya sempurna, tetapi janganlah sampai dilabel IPT sebagai ‘lubuk’ rasuah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan institusi,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), di sini hari ini.
Menurutnya, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa bersikap terbuka dan tidak menghalang mana-mana agensi penguat kuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana IPT yang dikaitkan dengan isu rasuah.
“Apa sahaja kes melibatkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah perlu dipandang serius dan kita tidak akan bertolak ansur walau sekecil mana sekalipun,” katanya lagi.
Dalam usaha memperkukuh tadbir urus, beliau berkata kementerian turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Audit Negara sebagai rujukan utama dalam menilai pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek.
Zambry turut berkata, setiap teguran yang dikemukakan oleh Jabatan Audit Negara akan diambil tindakan bagi memastikan penambahbaikan berterusan dalam sistem pentadbiran IPT.
“Segala kelemahan yang dikenal pasti akan diperbetulkan dari semasa ke semasa demi memastikan tadbir urus yang lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















