Perlekeh Rukun Negara: ABIM gesa penganjur persembahan mohon maaf
KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa penganjur serta individu terbabit dalam sebuah pementasan yang didakwa memperlekehkan Rukun Negara tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf secara terbuka.
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, persembahan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai keberanian berkarya, sebaliknya perlu dinilai dari sudut tanggungjawab serta pertimbangan moral.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap persembahan berkenaan secara tegas, adil dan mengikut lunas undang-undang.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara mengkritik kegagalan menghayati Rukun Negara dengan menjadikan prinsip berkenaan sebagai bahan penghinaan.
“Penganjur dan mereka yang terlibat perlu tampil memberikan penjelasan, memohon maaf secara terbuka dan bertanggungjawab terhadap pementasan itu,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Fahmi berkata, ABIM menghormati kebebasan berkarya, namun kebebasan dalam menghasilkan karya kreatif tidak bermakna seseorang terlepas daripada tanggungjawab.
Katanya, Rukun Negara bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi ikrar kewarganegaraan yang dibentuk daripada pengalaman pahit negara bagi memelihara perpaduan, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat majmuk.
Beliau berkata, ketika negara berdepan cabaran polarisasi dan kemerosotan kepercayaan antara masyarakat, bidang seni sewajarnya menjadi medium yang membuka minda serta menyemai nilai kemanusiaan, bukannya menjejaskan asas yang menyatukan rakyat.
Sebelum ini, sebuah video pementasan tular di media sosial, memaparkan beberapa pelakon saling menyuruh antara satu sama lain untuk ‘balik ke China, India dan Indonesia’ sebelum mengulangi ungkapan ‘This is Malaysia’.
Pelakon kemudian melafazkan Rukun Negara, dengan watak tertentu menyelitkan respons bernada mengejek selepas setiap prinsip yang dibacakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








