BERITA SEMASA

Malaysia cadang tubuh Majlis Halal ASEAN September 2027

JAKARTA – Malaysia mencadangkan penubuhan dan pelancaran rasmi Majlis Halal ASEAN di Malaysia pada September 2027, bersempena Bulan Halal Kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia sedia menjadi sekretariat majlis berkenaan, manakala Indonesia dicadang sebagai pengerusi sulung, tertakluk kepada persetujuan negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, Malaysia dan Indonesia akan membincangkan penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia semasa Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Kuala Lumpur pada akhir bulan ini.

Menurutnya, pengalaman dan hasil kerjasama kedua-dua negara boleh menjadi asas kepada pembentukan Majlis Halal ASEAN pada masa depan.

“Pengiktirafan sahaja tidak mencukupi. Majlis ini juga perlu membantu perniagaan kita berkembang dengan menghubungkan syarikat yang diperakui halal kepada rantaian bekalan serantau, taman halal, pembiayaan, logistik dan pasaran baharu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Beliau berkata demikian sebagai rumusan ucaptama yang disampaikan pada Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama lebih tersusun antara negara ASEAN penting bagi mengurangkan pertindihan, memperluas pengiktirafan serta membuka akses pasaran lebih luas kepada usahawan dan pemain industri halal.

Katanya, Majlis Halal ASEAN juga boleh menjadi antara asas kepada cadangan penubuhan Majlis Pembangunan Halal Dunia.

Cadangan penubuhan Majlis Halal ASEAN itu dikemukakan Malaysia dan Indonesia sejak tahun lalu, dengan perkara berkenaan kini akan dibawa untuk mendapatkan persetujuan negara anggota ASEAN.

“Insya-Allah, jika kita mampu menggabungkan kekuatan Malaysia, Indonesia dan seluruh ASEAN, rantau ini mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai antara peneraju utama ekonomi halal dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button