KDN digesa ambil tindakan terhadap pemain bola Indonesia didakwa hina polis Malaysia
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pemain bola sepak Indonesia yang didakwa menghina anggota polis Malaysia ketika menjalankan tugas mencetuskan kemarahan orang ramai dan desakan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadapnya.
Kemarahan itu tercetus susulan penularan satu video memaparkan pemain terbabit, Adam Alis, bersama dua rakannya ditahan polis selepas didakwa memandu melawan arus.
Dalam rakaman tersebut, anggota polis berkenaan meminta mereka menunjukkan pasport, namun gagal berbuat demikian sebelum diminta mengemukakan kad pengenalan Indonesia. Pegawai itu turut menasihatkan mereka supaya sentiasa membawa pasport sepanjang berada di negara ini.
Walau bagaimanapun, kenyataan Adam dalam video itu yang seolah-olah menuduh polis tempatan cuba ‘meminta wang’ telah menimbulkan rasa kurang senang dan mencetuskan kecaman warganet Malaysia.
Susulan kejadian itu, media sosial pemain berkenaan dihujani kritikan, manakala ramai pengguna tempatan menuntut KDN mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit.
Pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz, turut menyuarakan gesaan agar perkara itu diberi perhatian oleh pihak berkuasa serta mengingatkan warga asing agar menghormati undang-undang negara ini.
“Rakyat Malaysia geram, dia tuduh polis Malaysia nak ‘paw’ dia. Dia tak tahu polis Malaysia wajib pakai kamera dan mikrofon di badan, jadi tak timbul isu nak minta duit.
“Tolonglah KDN ingatkan mereka, anggota polis Malaysia bukan watak animasi yang boleh dipersendakan. Datang sebagai tetamu, beradablah sebagai tetamu. Ini Malaysia, undang-undang Malaysia bukan boneka untuk ditipu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








