JENAYAH & MAHKAMAH

Jangan salah guna identiti PDRM untuk promosi produk – Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran keras terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama, lambang, serta identiti rasmi pasukan bagi tujuan komersial tanpa kelulusan sah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, sebagai aset institusi yang perlu dipelihara, identiti rasmi PDRM tidak boleh dieksploitasi bagi sebarang kepentingan komersial mahupun tujuan yang berupaya mengelirukan orang awam.

Beliau berkata, orang awam diminta agar tidak terkeliru dan memahami batasan penglibatan pegawai polis dalam sebarang acara luar bagi mengelakkan salah faham terhadap fungsi tugas rasmi pasukan.

“PDRM menegaskan kehadiran mana-mana pegawai PDRM dalam sesuatu program tidak boleh ditafsirkan sebagai perakuan, sokongan atau pengiktirafan terhadap mana-mana produk, perkhidmatan, pelaburan atau aktiviti komersial.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat andaian bahawa sesuatu produk atau perkhidmatan mendapat kelulusan atau sokongan rasmi PDRM hanya berdasarkan pembabitan warga PDRM dalam sesuatu program,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan terdapat pihak tertentu yang cuba menggunakan identiti pasukan keselamatan itu bagi tujuan promosi, pemasaran dan pengiklanan.

Mengulas lanjut mengenai tindakan perundangan, Mohd Khalid memberi amaran siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang berdegil menyalahgunakan identiti PDRM secara tidak sah atau berniat mengelirukan pengguna.

Beliau berkata, mereka boleh disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), tertakluk kepada fakta dan elemen kesalahan yang dapat dibuktikan kelak.

“PDRM kekal komited memelihara integriti, kredibiliti dan identiti rasmi pasukan serta memastikan setiap bentuk kerjasama dengan pihak luar dilaksanakan secara telus, profesional dan selaras undang-undang.

“Ini semua demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap polis,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button