Penganjur mohon maaf, ambil langkah keluarkan patin Siam dari Tasik Shah Alam
SHAH ALAM – Penganjur Festival Memancing Agro Selangor@Shah Alam 2026 memohon maaf susulan kontroversi pelepasan ikan patin Siam di Tasik Barat, Taman Tasik Shah Alam dan berjanji melaksanakan beberapa langkah segera bagi mengurangkan kesan terhadap ekosistem tasik berkenaan.
Jawatankuasa penganjur dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima teguran serta penjelasan daripada pihak berkuasa bahawa ikan patin Siam yang dilepaskan pada Ahad lalu merupakan spesies ikan asing yang boleh memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem perairan.
Menurutnya, segala pandangan dan teguran yang diterima dipandang serius, selain pihak penganjur mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang berlaku.
“Beberapa tindakan segera akan dilaksanakan selaras dengan arahan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor bagi mengurangkan risiko terhadap ekosistem tasik.
“Antara langkah yang akan diambil ialah memasang jaring di semua laluan keluar dan masuk air Tasik Barat bagi menghalang ikan patin Siam daripada merebak ke sistem perairan lain,” katanya.
Selain itu, penganjur turut akan menjalankan operasi penyisihan spesies berkenaan melalui pemasangan jaring bagi menangkap, mengenal pasti dan mengeluarkan ikan patin Siam yang masih berada di dalam tasik.
Menurut kenyataan itu, semua ikan patin Siam yang berjaya dipancing peserta pertandingan juga tidak akan dilepaskan semula ke dalam tasik, sebaliknya akan dikeluarkan sepenuhnya.
Isu pelepasan ikan patin Siam sebelum ini mengundang kritikan pelbagai pihak kerana spesies itu dikategorikan sebagai ikan asing yang berpotensi menjejaskan habitat serta populasi ikan tempatan jika tidak dikawal dengan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

