PTPTN: Putera MIC bidas kerajaan ulangi ‘skrip lama’
KUALA LUMPUR – Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar mengkritik Pakatan Harapan (PH) kerana sekali lagi mengulangi skrip lama isu penghapusan pinjaman PTPTN yang akan ‘dibincangkan’.
Dr Shatesh berkata, kegagalan menunaikan janji manifesto yang menjadi modal utama meraih sokongan anak muda pada pilihan raya lalu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak, terutamanya golongan graduan yang kini terbeban dengan kos sara hidup serta cabaran pasaran pekerjaan.
“Mengapa selepas beberapa tahun mentadbir Kerajaan Persekutuan, janji menghapuskan PTPTN masih gagal ditunaikan?
“Bukankah inilah antara manifesto yang paling lantang dijual kepada anak muda dan mahasiswa ketika mahu membentuk kerajaan? Kini, apabila janji itu dituntut semula, jawapannya masih sama akan dibincangkan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, kedudukan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli, dalam kerajaan masa kini dibangkitkan susulan pendirian beliau sebelum ini yang aktif mengetuai gerakan menuntut penghapusan PTPTN.
“Dahulu lantang di jalanan, hari ini senyap di dalam kerajaan. Anak muda berhak bertanya, ke mana hilangnya semangat perjuangan yang pernah dilaungkan?
“Inilah masalah politik janji manis. Ketika menjadi pembangkang, semuanya boleh dijanjikan apabila sudah berkuasa, alasan pula yang diberikan.
“Anak muda tidak boleh terus dijadikan sasaran janji bermusim setiap kali pilihan raya,” ujarnya.
Beliau berkata, graduan masa kini dilaporkan berdepan cabaran ekonomi yang meruncing, didorong oleh peningkatan kos sara hidup, pasaran pekerjaan yang kompetitif, serta beban hutang pendidikan yang menyekat keupayaan kewangan golongan muda.
“Mereka tidak memerlukan retorik politik atau janji untuk mengkaji dan membincangkan. Mereka memerlukan dasar yang jelas dan tindakan yang nyata.
“Jika kerajaan benar-benar tidak mampu melaksanakan penghapusan PTPTN seperti yang pernah dijanjikan, maka berterus teranglah kepada rakyat.
“Jangan terus menabur harapan palsu. Bentangkan pelan yang jelas sama ada melalui pengurangan kadar, diskaun penyelesaian pinjaman, bantuan bersasar kepada peminjam B40 atau mekanisme bayaran balik yang lebih adil,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







