PTPTN sumbang RM3,000 simpanan SSPN bantu anak mangsa Amirul Hafiz
PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyumbang RM3,000 menerusi Akaun Simpan SSPN Prime kepada tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang terkorban dilanggar pemandu mabuk di Klang, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan melalui Program Ziarah Kasih PTPTN yang diketuai Pengerusinya, Norliza Abdul Rahim di kediaman keluarga mangsa di Batu Kurau, Perak.
PTPTN dalam kenyataannya berkata, setiap anak Allahyarham menerima RM1,000 dalam bentuk simpanan pendidikan bagi membantu menjamin masa depan pendidikan mereka.
Menurut Norliza, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Walaupun tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan seorang suami dan bapa, kami berharap sumbangan ini dapat menjadi sokongan bermakna dalam memastikan pendidikan anak-anak Allahyarham terus terbela,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat merancang kewangan pendidikan lebih awal melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai kelebihan termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma serta dividen kompetitif.
Selain itu, Simpan SSPN Plus menyediakan enam pakej simpanan bulanan antara RM30 hingga RM500 dengan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta serta manfaat khairat kematian.
PTPTN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus komited melaksanakan program CSR khususnya dalam bidang pendidikan bagi membantu pembangunan generasi masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






