UMNO Kedah bakal bertemu kepimpinan PAS negeri bincang kerjasama PRU16
CYBERJAYA – UMNO Kedah bakal bertemu dengan kepemimpinan PAS negeri dalam masa terdekat bagi membincangkan bentuk kerjasama antara kedua-dua parti menjelang PRU16.
Ketua UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pertemuan awal itu akan menjadi langkah pertama sebelum sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara lain, lapor BH Online.
Bagaimanapun Mahdzir berkata, beliau perlu bertemu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor terlebih dahulu sebelum rundingan lebih terperinci dibuat bersama kepemimpinan PAS negeri.
“Mungkin jumpa Menteri Besar dulu. Kemudian mungkin Pesuruhjaya PAS.
“Kita runding kerjasama. Banyak fokusnya, kita akan ikut secara berperingkat tapi mula dengan jumpa dulu,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya bersetuju kepimpinan peringkat negeri berunding dengan parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam kenyataan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rundingan tersebut mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan.
Perkembangan itu hadir ketika hubungan UMNO dan PAS kembali menjadi perhatian susulan kerjasama politik melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan, awal bulan ini.
Persefahaman itu menyaksikan BN dan PN menguasai 25 daripada 36 kerusi dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







