BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pengecualian bayaran balik PTPTN graduan IPTS diteliti semula, hutang tertunggak keluarga pendapatan tinggi pula cecah RM257 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia mempertimbangkan semula mekanisme pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan kelas pertama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mustapha Sakmud berkata, mengikut dasar sedia ada pengecualian itu hanya membabitkan graduan B40 dan M40 daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan bantuan disalurkan lebih bersasar.

“Sebelum ini, model pengecualian turut merangkumi pelajar IPTS, tetapi kali ini hanya melibatkan IPTA untuk kategori B40 dan M40.

“Ada kewajaran untuk menilai semula dasar IPTS, namun mekanismenya perlu diperincikan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan tambahan Tan Kar Hing (PH-Gopeng).

Dalam pada itu, Mustapha berkata, sebanyak 64,618 peminjam PTPTN daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan mencatatkan tunggakan bayaran balik berjumlah RM257.56 juta sehingga 31 Oktober lepas.

Beliau berkata, bagi peminjam daripada keluarga bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 sebulan, sebanyak 196,115 orang merekodkan tunggakan RM539.35 juta.

“Manakala 967,796 peminjam daripada keluarga penerima STR mencatatkan tunggakan berjumlah RM10.23 bilion,” katanya.

Mustapha turut memaklumkan bahawa seramai 911,788 peminjam daripada keluarga penerima STR telah menyelesaikan bayaran balik pinjaman berjumlah RM13.89 bilion.

Sementara itu, 58,921 peminjam daripada keluarga bukan penerima STR dan berpendapatan tidak melebihi RM8,000 sebulan menunaikan bayaran sebanyak RM703.45 juta, manakala 136,196 peminjam daripada keluarga berpendapatan melebihi RM8,000 sebulan membayar balik RM1.54 bilion.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button