Pindaan RUU Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak diluluskan
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU bagi memperluaskan bidang kuasa terhadap kesalahan yang dilakukan di luar negara itu diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan oleh 25 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Pindaan berkenaan bertujuan memastikan pelaku kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran bagaimanapun berkata, pindaan itu tidak bermaksud Malaysia akan secara automatik mengambil alih kes yang berlaku di luar negara.
“Dengan adanya peruntukan ini, sesuatu yang dilakukan diluar Malaysia, dianggap dilakukan di Malaysia dan dituduh di Malaysia,” katanya, hari ini
Beliau menjelaskan, negara tempat kesalahan itu dilakukan kekal mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pindaan itu selaras dengan usaha memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak daripada jenayah seksual rentas sempadan.
Beliau berkata, pindaan berkenaan juga bertujuan memastikan akta itu kekal relevan susulan perubahan landskap jenayah seksual.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















