BERITA SEMASA

Tidak adil ungkit janji lama Adam Adli hapus PTPTN – Kamil Munim

KUALA LUMPUR – Masyarakat disaran tidak terus mengungkit janji lama Adam Adli Abd Halim berkaitan penghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kerana kenyataan itu dibuat ketika beliau masih bergelar aktivis.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, situasi dan kedudukan Adam Adli ketika itu berbeza berbanding sekarang selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, isu berkenaan perlu dilihat secara lebih adil dan berpijak pada realiti semasa negara.

“Saya yakin jika ruang diberikan, kita boleh sama-sama mencari jalan untuk menambah baik sistem pendidikan negara, bukan hanya melalui PTPTN semata-mata, tetapi juga menerusi pelbagai inisiatif lain,” memetik laporan MG online.

Muhammad Kamil berkata, janji berkaitan penghapusan PTPTN itu dibuat sekitar 10 hingga 13 tahun lalu, ketika keadaan ekonomi, fiskal dan hutang negara berada dalam situasi yang berbeza.

“Justeru, hujah lama itu tidak boleh dibawa ke hadapan sebagai satu kritikan tanpa mengambil kira perubahan realiti semasa,” katanya lagi.

Beliau turut menyamakan isu tersebut dengan perdebatan mengenai harga minyak yang sering dijadikan bahan sindiran terhadap kerajaan.

“Sama juga apabila kita bercakap soal harga minyak. Ada yang berkata, ‘hari ini menang, esok harga minyak turun’. Hakikatnya, kerajaan mengambil masa beberapa tahun untuk memulihkan ekonomi dan melakukan penjimatan.

“Alhamdulillah, hari ini harga minyak berjaya diturunkan secara berperingkat melalui pelaksanaan penyasaran,” katanya lagi.

Menurut beliau, sebarang perubahan dasar perlu dinilai secara holistik dengan melihat langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan.

“Kita boleh lihat dalam pengumuman Belanjawan 2026, misalnya, hutang pelajar daripada golongan B40 telah dihapuskan.

“Ini merupakan satu langkah positif ke arah merealisasikan perjuangan yang pernah dibawa sebelum ini, tertakluk kepada kedudukan ekonomi negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button