RCI Tabung Haji diharap tamatkan episod hitam, pulihkan keyakinan rakyat – Kamil Munim
KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji diharap menjadi titik akhir kepada episod hitam yang mencalar imej institusi itu, selain memulihkan semula keyakinan rakyat terhadap pengurusan serta tadbir urusnya.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendedahan menerusi RCI berkenaan merupakan detik penting kepada negara kerana rakyat berhak mengetahui bagaimana institusi amanah umat Islam itu didakwa mengalami salah urus sehingga memerlukan siasatan di peringkat tertinggi.
Menurut beliau, setiap simpanan di Tabung Haji merupakan hasil usaha keras rakyat daripada pelbagai latar belakang yang menyimpan wang bertahun-tahun demi merealisasikan impian menunaikan ibadah haji.
“Wang yang disimpan bukan lebihan, tetapi datang daripada usaha gigih seperti menoreh getah, mengusahakan bendang, memandu teksi dan berniaga kecil-kecilan. Amanah ini sangat besar kerana ia melibatkan harapan dan doa jutaan umat Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu sebelum ini.
Anwar berkata, beliau akan mendapatkan pandangan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sama ada perlu dibawa terlebih dahulu ke mesyuarat Jemaah Menteri Rabu depan.
Baca juga : Laporan akhir RCI Tabung Haji boleh didedah hari ini atau minggu depan – Anwar
Mengulas lanjut, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, sebarang kecuaian dalam menguruskan amanah berkenaan bukan sahaja memberi kesan terhadap imej institusi, malah menjejaskan kepercayaan rakyat.
Katanya, semua pihak yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan dan tiada usaha untuk menutup kelemahan atau mempertahankan mana-mana pihak.
“Kerajaan MADANI memilih untuk berdepan kebenaran walaupun sukar. Kita tidak boleh membiarkan episod ini dilupakan tanpa sebarang tindakan. Keberanian mengakui kesilapan adalah langkah pertama untuk memperbaiki keadaan,” katanya.
Muhammad Kamil berharap laporan RCI itu dapat menjadi pemangkin kepada usaha pembaharuan secara menyeluruh agar Tabung Haji kembali sebagai institusi yang telus, berintegriti dan benar-benar menjaga kepentingan umat Islam.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan keyakinan terhadap Tabung Haji dapat diperkukuh demi kepentingan generasi hari ini dan masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















